Thursday 26 December 2013

[ BERITA: KEBAIKAN MADU ]

© Utusan Melayu (M) Bhd, Kolum: Kesihatan, ARKIB : 13/10/2013


Untuk mengekalkan kesihatan, pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat adalah penting. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang boleh diambil sebagai makanan tambahan yang mampu memberi zat dan nutrien yang tidak terdapat dalam makanan utama.

Madu lebah diperakui sebagai makanan yang bukan saja memberi khasiat tambahan, malah membantu memulihkan pelbagai masalah kesihatan.

Penawar daripada madu

Madu adalah salah satu bahan makanan yang mempunyai sifat penyembuh semula jadi. Ia sudah dikenali sejak zaman dahulu sebagai salah satu sumber makanan yang baik untuk kecantikan dan kesihatan dalaman.

Dalam perubatan Islam, madu sering digunakan sebagai ubat untuk membantu meringankan sakit seperti membersihkan kotoran di dalam usus, menormalkan kelembapan tubuh badan, mancairkan kahak dan menguatkan sistem pertahanan tubuh.

Menurut Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat, madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic. Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink.

Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah. Madu berperanan sebagai anti oksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik. Kajian terkini membuktikan, kandungan madu lebah yang terdiri daripada bahan semula jadi pelbagai gula seperti glukos dan fruktos ini mampu meningkatkan stamina.

Madu boleh diamalkan dalam diet seharian kerana madu sesuai dijadikan pengganti gula sekaligus dapat menjaga kesihatan badan. Selain itu, amalan minum air madu hangat selepas makan boleh membantu melancarkan pencernaan serta meningkatkan metabolism tubuh.

Dari segi kecantikan, madu sebenarnya telah lama digunakan untuk mencantik, menghalus, melembab dan mengawal keanjalan kulit.

No comments:

Post a Comment